Sekolah Integrasi As-Syakirin telah mengadakan Program Mukhayyam 2024 yang merupakan program tahunan sekolah pada 20-22 Ogos 2024 yang lalu di Teratak Bernam Riverview, Tanjung Malim, Perak. Program anjuran Kadet Remaja Sekolah (KRS) & Tunas Kadet Remaja Sekolah (TKRS) di bawah seliaan Unit Kokurikulum disertai oleh 165 orang murid/pelajar Tahap 2 dan Tahap M dengan 17 orang guru pengiring.
Tujuan program dijalankan adalah untuk membina mentaliti kepimpinan dalam diri setiap kadet KRS/TKRS, selain memberi pendedahan kepada anggota kadet dalam perkara asas unit beruniform seperti ikatan tali, ikhtiar hidup, dan kawad kaki berkumpulan. Program ini dapat membentuk sahsiah, memupuk rasa kebersamaan sesama kadet dalam setiap tindakan melalui aktiviti dan tugasan yang diberikan.
Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang program ini ialah mencari harta karun, meredah air, merentasi halangan, master chef, persembahan malam kebudayaan, perang, dan ujian kawad kaki berkumpulan.
Semua murid/pelajar telah membuat persediaan sekurang-kurangnya 2 bulan sebelum program bermula. Pengalaman ini tidak mungkin didapati di bilik darjah atau ketika di rumah. Ia sangat berguna dan penting kepada mereka yang sedang membesar untuk terus hidup dalam masyarakat yang lebih kompleks dan mencabar. Program Mukhayyam 2024 telah berakhir dengan jayanya dan mencipta seribu kenangan abadi buat semua.